Memperlihatkan Muka Dan Tangan Menurut Pendapat Jumhur Ulama
Ingin
segera saya tegaskan disini tentang suatu hakikat yang sebenarnya
sudah tidak perlu penegasan, kerana di kalangan ahli ilmu hal itu sudah
terkenal dan tidak samar lagi, sudah masyhur dan tidak asing lagi,
iaitu bahawa pendapat tentang tidak wajibnya memakai cadar serta
bolehnya membuka wajah dan kedua telapak tangan bagi wanita muslimah di
depan laki-laki lain yang bukan muhrimnya adalah pendapat jumhur
fuqaha umat semenjak zaman sahabat r.a..
Kerana itu tidak perlu
dipertengkarkan, sebagaimana yang ditimbulkan oleh sebahagian yang
ikhlas tetapi tidak berilmu dan oleh sebahagian pelajar dan ilmuwan
yang bersikap ketat terhadap pendapat yang dikemukakan seorang da’i
kondang Syekh Muhammad al-Ghazali dalam beberapa buku dan makalahnya.
Mereka beranggapan seakan-akan beliau membawa bid’ah atau pendapat
baru, padahal sebenarnya apa yang beliau kemukakan itu merupakan
pendapat imam-imam yang mu’tabar dan fuqaha yang andal, sebagaimana
yang akan saya jelaskan kemudian. Selain itu, apa yang beliau kemukakan
merupakan pendapat yang didukung oleh dalil-dalil dan atsar,
disandarkan pada penalaran dan i’tibar, dan didukung pula oleh realiti
dalam beberapa zaman.
Mazhab Hanafi
Dalam kitab al-Ikhtiyar,
salah satu kitab Mazhab Hanafi, disebutkan: Tidak diperbolehkan
melihat wanita lain kecuali wajah dan telapak tangannya, jika tidak
dikhuwatirkan timbul syahwat. Dan diriwayatkan dari Abu Hanifah bahawa
beliau menambahkan dengan kaki, kerana pada yang demikian itu ada
kedaruratan untuk mengambil dan memberi serta untuk mengenal wajahnya
ketika bermuamalah dengan orang lain, untuk menegakkan kehidupan dan
keperluannya, kerana tidak adanya orang yang melaksanakan sebab-sebab
penghidupannya.
Beliau berkata: Sebagai dasarnya ialah firman
Allah, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali apa yang
biasa tampak daripadanya.” (an-Nur: 31)
Para sahabat pada umumnya
berpendapat bahawa yang dimaksud ayat tersebut ialah celak dan cincin,
iaitu tempatnya (bahagian tubuh yang ditempati celak dan cincin). Hal
ini sebagaimana telah saya jelaskan bahawa celak, cincin, dan
macam-macam perhiasan itu halal dilihat oleh kerabat mahupun orang
lain. Maka yang dimaksud disini ialah ‘tempat perhiasan itu,’ dengan
jalan membuang mudhaf dan menempatkan mudhaf ilaih pada tempatnya.
Beliau
berkata, adapun kaki, maka diriwayatkan bahawa ia bukanlah aurat
secara mutlak, kerana bahagian ini diperlukan untuk berjalan sehingga
akan tampak. Selain itu, kemungkinan timbulnya syahwat kerana melihat
muka dan tangan itu lebih besar, maka halalnya melihat kaki adalah
lebih utama.
Dalam satu riwayat disebutkan, kaki itu adalah aurat untuk dipandang, bukan untuk shalat.”[1]
Mazhab Maliki
Dalam syarah shaghir (penjelasan ringkas) karya ad-Dardir yang berjudul Aqrabul Masalik ilaa Malik, disebutkan:
“Aurat
wanita merdeka terhadap laki-laki asing, yakni yang bukan mahramnya,
ialah seluruh tubuhnya selain wajah dan telapak tangan. Adapun selain
itu bukanlah aurat.”
Ash-Shawi mengomentari pendapat tersebut
dalam Hasyiyah-nya, katanya, “Maksudnya, boleh melihatnya, baik bahagian
luar mahupun bahagian dalam (tangan itu), tanpa maksud berlazat-lazat
dan merasakannya, dan jika tidak demikian maka hukumnya haram.”
Beliau
berkata, “Apakah pada waktu itu wajib menutup wajah dan kedua
tangannya?” Itulah pendapat Ibnu Marzuq yang mengatakan bahawa ini
merupakan mazhab (Maliki) yang masyhur.
Atau, apakah wanita tidak
wajib menutup wajah dan tangannya hanya si laki-laki yang harus
menundukkan pandangannya? Ini adalah pendapat yang dinukil oleh
al-Mawaq dari ‘Iyadh.
Sedangkan Zurruq merinci dalam Syarah
al-Waghlisiyah antara wanita yang cantik dan yang tidak, yang cantik
wajib menutupnya, sedangkan yang tidak cantik hanya mustahab.”[2]
Mazhab Syafi’i
Asy-Syirazi, salah seorang ulama Syafi’iyah, pengarang kitab al-Muhadzdzab mengatakan:
“Adapun
wanita merdeka, maka seluruh tubuhnya adalah aurat, kecuali wajah dan
telapak tangan – Imam Nawawi berkata: hingga pergelangan tangan –
berdasarkan firman Allah ‘Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya
kecuali apa yang biasa tampak daripadanya.’ Ibnu Abbas berkata,
‘Wajahnya dan kedua telapak tangannya.”[3]
Disamping itu, kerana
Nabi saw. ‘melarang wanita yang sedang ihram mengenakan kaos tangan dan
cadar’.[4] Seandainya wajah dan telapak tangan itu aurat, niscaya
beliau tidak akan mengharamkan menutupnya. Selain itu, juga kerana
dorongan keperluan untuk menampakkan wajah pada waktu jual beli, serta
perlu menampakkan tangan untuk mengambil dan memberikan sesuatu, kerana
itu (wajah dan tangan) ini tidak dianggap aurat.
Imam Nawawi
menambahkan dalam syarahnya terhadap al-Muhadzdzab, iaitu al-Majmu’,
“Diantara ulama Syafi’iyah ada yang menceritakan atau mengemukakan
suatu pendapat bahawa telapak kaki bukanlah aurat. Al-Muzani berkata,
‘Telapak kaki itu bukan aurat.’ Dan pendapat mazhab adalah yang
pertama.”[5]
Mazhab Hambali
Dalam mazhab Hambali kita dapati
Ibnu Qudamah mengatakan dalam kitabnya al-Mughni (1: 601) seperti
berikut: Tidak diperselisihkan dalam mazhab tentang bolehnya wanita
membuka wajahnya dalam shalat, dan dia tidak boleh membuka selain wajah
dan telapak tangannya. Sedangkan mengenai telapak tangan ini ada dua
riwayat.
Para ahli ilmu berbeza pendapat, tetapi kebanyakan
mereka sepakat bahawa ia boleh melakukan shalat dengan wajah terbuka.
Dan mereka juga sepakat bahawa wanita merdeka itu harus mengenakan
tutup kepalanya jika melakukan shalat, dan jika ia melakukan shalat
dalam keadaan seluruh kepalanya terbuka, maka ia wajib mengulangmya.
Imam Abu Hanifah berkata, “Kaki itu bukan aurat, kerana kedua kaki itu memang biasanya tampak. Kerana itu, ia seperti wajah.”
Imam
Malik, al-Auza’i, dan Imam Syafi’i berkata, “Seluruh tubuh wanita itu
adalah aurat kecuali muka dan tangannya, dan selain itu wajib ditutup
pada waktu shalat, kerana dalam menafsirkan ayat ,dan janganlah mereka
menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa tampak daripadanya,”
Ibnu Abbas berkata, ‘Iaitu wajah dan telapak tangan.”
Selain itu,
kerana Nabi saw. melarang wanita berihram memakai kaus tangan dan
cadar. Andaikata wajah dan tangan itu aurat niscaya beliau tidak akan
mengharamkan menutupnya. Selain itu, kerana diperlukan membuka wajah
dalam urusan jual beli, begitupun kedua tangan untuk mengambil
(memegang) dan memberikan sesuatu.
Sebahagian sahabat kami
berkata, “Wanita itu seluruhnya adalah aurat, kerana diriwayatkan dari
Nabi saw. bahawa wanita itu aurat.” Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan
beliau berkata, “Hadis hasan sahih.” Tetapi beliau memberinya rukhshah
(keringanan) untuk membuka wajah dan tangannya kerana jika ditutup akan
menimbulkan kesulitan. Dan diperbolehkan melihatnya pada waktu
meminang kerana wajah itu merupakan pusat kecantikan. Dan ini adalah
pendapat Abu Bakar al-Harits bin Hisyam, beliau berkata, “Wanita itu
seluruhnya adalah aurat hingga kukunya.”
Demikian keterangan dalam kitab al-Mughni.
Mazhab-Mazhab Lain
Dalam menjelaskan berbagai pendapat ulama tentang masalah aurat, Imam Nawawi mengatakan dalam kitabnya al-Majmu’:
Aurat
wanita itu ialah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangannya.
Disamping Imam Syafi’i, yang berpendapat demikian adalah Imam Malik,
Abu Hanifah, al-Auza’i, Abu Tsaur, dan segolongan ulama, serta satu
riwayat dari Imam Ahmad.
Selain itu, Imam Abu Hanifah, Tsauri, dan al-Muzani berkata “Kedua kakinya juga bukan aurat.”
Imam Ahmad berkata, “Seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali wajahnya saja”[6]
Ini juga merupakan pendapat Daud sebagaimana dikemukakan dalam Nailul Authar (2: 55).
Adapun
Ibnu Hazm, maka beliau mengecualikan wajah dan telapak tangan,
sebagaimana disebutkan dalam al-Muhalla, dan akan kami kemukakan
alasan-alasan yang beliau berikan.
Ini juga merupakan pendapat
jamaah sahabat dan tabi’in sebagaimana yang tampak jelas dalam
penafsiran mereka terhadap ayat “apa yang bisa tampak daripadanya”
(an-Nur: 31).
Dalil-Dalil Golongan Yang Memperbolehkan Membuka Wajah Dan Telapak Tangan
Saya
akan kemukakan beberapa dalil syar’iyah terpenting yang dijadikan
dasar oleh golongan yang berpendapat tidak wajib memakai cadar serta
boleh membuka wajah dan telapak tangan – iaitu jumhur ulama – seperti
berikut ini, dan insya Allah hal ini sudah memadai.
1. Penafsiran sahabat terhadap ayat “kecuali apa yang biasa tampak daripadanya.”
Jumhur
ulama dari kalangan sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka
dengan baik (para tabi’in) menafsirkan firman Allah dalam surah an-Nur
ayat 31 “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang
biasa tampak daripadanya” bahawa yang dimaksud adalah “wajah dan
telapak tangan, atau celak dan cincin, serta perhiasan-perhiasan yang
serupa dengannya.”
Al-Hafizh as-Suyuthi menyebutkan sejumlah
besar pendapat mengenai masalah ini dalam kitabnya Ad-durrul Mantsur
fit Tafsir bil Ma’tsur.
Ibnul Mundzir meriwayatkan dari Anas
mengenai firman Allah “dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya
kecuali apa yang biasa tampak daripadanya,” yang maksudnya adalah “celak
dan cincin.”
Sa’id bin Manshur, Ibnu Jarir, Abdullah bin
Humaid, Ibnul Mundzir, dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.
mengenai bunyi ayat tersebut dengan “celak, cincin, anting-anting, dan
kalung.”
Abdur Razaq dan Abd bin Humaid meriwayatkan dari Ibnu
Abbas mengenai “kecuali apa yang biasa tampak daripadanya,” iaitu
“pemerah kuku dan cincin.”
Ibnu Abi Syaibah, Abd bin Humaid, dan
Ibnu Abi Hatim meriWayatkan dari Ibnu Abbas mengenai “apa yang biasa
tampak daripadanya,” iaitu “wajah, telapak tangan, dan cincin.”
Ibnu
Abi Syaibah, Abd bin Humaid, dan Ibnu Abi Hatim juga meriwayatkan dari
Ibnu Abbas mengenai firman Allah “kecuali apa yang biasa tampak
daripadanya,” iaitu “raut wajah dan telapak tangan.”
Ibnu Abi
Syaibah, Abd bin Humaid, Ibnul Mundzir, dan al-Baihaqi dalam sunan-nya,
meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa beliau pernah ditanya mengenai
perhiasan yang biasa tampak itu, lalu beliau menJawab, “gelang dan
cincin.” Beliau mengatakan demikian sambil mengatupkan hujung lengan
bajunya.
Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Ikrimah mengenai
firman Allah “kecuali apa yang biasa tampak daripadanya.” Menurut
beliau yang dimaksud adalah “wajah dan lingkar leher (antara dua tulang
selangka).”
Ibnu Jarir meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair
mengenai ayat tersebut dengan penafsiran “wajah dan telapak tangan.”
Ibnu Jarir juga meriwayatkan dari ‘Atha mengenai ayat yang sama dengan
penafsiran “kedua telapak tangan dan wajah.”
Abdur Razaq dan Ibnu
Jarir, dari Qatadah, menasirkan ayat tersebut dengan “kedua gelang,
cincin, dan celak.” Menurut Qatadah, “Telah sampai berita kepadaku
bahawa Nabi saw. bersabda:
“Tidak halal bagi wanita yang beriman
kepada Allah dan hari akhir (untuk menampakkan tangannya) kecuali
hingga ini, seraya beliau memegang separuh lengannya.”
Abdur
Razaq dan Ibnu Jarir, dari Ibnu Juraij, yang mengutip perkataan Ibnu
Abbas bahawa yang dimaksud bunyi ayat “dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya kecuali apa yang biasa tampak daripadanya” adalah “cincin
dan gelang.”
Menurut Ibnu Juraij, Aisyah pernah berkata, “Anak
perempuan dari saudara laki-lakiku seibu, iaitu Abdullah bin Thufail,
pernah masuk ke tempatku dengan mengenakan perhiasan. Dia masuk ke
tempat Nabi saw., kemudian beliau berpaling.” Lalu Aisyah berkata
“Sesungguhnya dia adalah anak perempuan saudara laki-lakiku dan dia
seorang pembantu.” Kemudian beliau bersabda:
“Apabila seorang wanita telah dewasa, ia tidak boleh menampakkan selain wajahnya dan selain yang di bawah ini.”
Seraya
beliau memegang lengannya sendiri, lalu beliau biarkan antara
pegangannya itu dengan telapak tangan sepanjang segenggam tangan.”[7]
Namun,
dalam hal ini Ibnu Mas’ud berbeza pendapat dengan Ibnu Abbas, Aisyah,
dan Anas radhiyallahu ‘anhum. Ibnu Mas’ud berkata, “Apa yang biasa
tampak itu ialah pakaian dan jilbab.”
Menurut pendapat saya,
penafsiran Ibnu Abbas dan yang sependapat dengannya itu merupakan
penafsiran yang rajih (kuat), kerana pengecualian dalam ayat “kecuali
apa yang biasa tampak daripadanya” itu datang setelah larangan
menampakkan perhiasan, yang hal ini menunjukkan semacam rukhshah
(keringanan) dan pemberian kemudahan, sedangkan tampaknya selendang,
jilbab, dan pakaian-pakaian luar lainnya sama sekali bukan rukhshah
atau kemudahan, atau menghilangkan kesulitan, kerana tampak atau
terlihatnya pakaian luar itu sudah otomatis. Oleh kerana itu, pendapat
ini dikuatkan oleh ath-Thabari, al-Qurthubi, ar-Razi, al-Baidhawi, dan
lain-lainnya, dan ini merupakan pendapat jumhur ulama.
Adapun
al-Qurthubi menguatkan pendapat ini kerana sudah lumrah wajah dan
tangan itu tampak baik dalam adat mahupun dalam ibadah, seperti dalam
shalat dan haji. Oleh kerana itu, tepatlah apabila istitsna’
(pengecualian) itu kembali kepadanya.
Pendapat ini dimantapkan
dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Asma binti Abu
Bakar pernah menghadap Nabi saw. dengan mengenakan pakaian yang tipis,
lalu Nabi saw. berpaling seraya berkata:
“‘Wahai Asma, apabila
wanita telah mengeluarkan darah haid (sudah dewasa), maka tidak boleh
tampak dari tubuhnya selain ini dan ini,’ dan beliau berisyarat kepada
wajah dan kedua tangannya.”
Memang, kalau hanya hadis ini saja
tidak dapat dijadikan hujjah kerana kemursalannya dan kelemahan
perawinya dari Aisyah, sebagaimana yang sudah dimaklumi, tetapi ia
mempunyai syahid (pendukung) dari hadis Asma binti Umais sehingga
kedudukannya menjadi kuat, ditambah lagi dengan praktek kaum wanita
pada zaman Nabi saw. dan para sahabatnya. Oleh kerana itu, pakar hadis
al-Albani menghasankannya dalam kitab-kitabnya, seperti: Hijab
al-Mar’ah al-Muslimah, al-Irwa’, Shahih al-Jam’I ash-Shaghir, dan
Takhrij al-Halal wal-Haram.
2. Perintah Mengulurkan Tudung ke Dada, bukan ke Wajah Allah berfirman:
( sepotong surat an nur 31 )“… Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya …” (an Nur: 31)
Lafal
al-khumuru adalah bentuk jamak dari kata khimaaru, iaitu tutup kepala,
sedangkan lafal al-juyuubu adalah bentuk jamak dari kata jaibu, iaitu
belahan dada pada baju atau lainnya. Maka wanita-wanita mukminah
diperintahkan menutupkan dan mengulurkan penutup kepalanya sehingga
dapat menutupi leher dan dadanya, dan jangan membiarkannya terlihat
sebagaimana yang dilakukan wanita-wanita jahiliah.
Seandainya
menutup muka itu wajib, niscaya dijelaskan dengan tegas oleh ayat itu
dengan memerintahkan wanita menutup wajahnya, sebagaimana dengan tegas
ayat itu memerintahkan mereka menutup dadanya. Kerana itu, setelah
mengemukakan ayat ini Ibnu Hazm berkata, “Maka Allah Ta’ala
memerintahkan mereka (kaum wanita) menutupkan tudungnya ke dadanya, dan
ini merupakan nash untuk menutup aurat, leher, dan dada, dan ini juga
merupakan nash yang memperbolehkan membuka wajah, dan tidak mungkin
dapat diertikan selain itu.”[8]
3. Perintah kepada Laki-laki untuk Menahan Pandangan
Al-Qur’an dan As-Sunnah menyuruh laki-laki menahan pandangannya. Firman Allah:
“Katakanlah
kepada orang laki-laki yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah
lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang
mereka perbuat.” (an-Nur: 30)
Sabda Nabi saw.:
“Jaminlah
untukku enam perkara, niscaya aku menjamin untuk kamu syurga, iaitu
jujurlah bila kamu berbicara, tunaikanlah jika kamu diamanati, dan
tahanlah pandanganmu …?”[9]
“Janganlah engkau ikuti pandangan
(pertama) dengan pandangan (berikutnya), kerana engkau hanya
diperbolehkan melakukan pandangan pertama itu dan tidak diperbolehkan
pandangan yang kedua.”[10]
“Wahai para pemuda, barangsiapa
diantara kamu yang telah mampu kahwin, maka kahwinlah, kerana kahwin
itu lebih dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan…” (HR
al-Jama’ah dari Ibnu Mas’ud)
Kalau seluruh wajah itu harus
tertutup dan semua wanita harus memakai cadar, maka apakah erti anjuran
untuk menahan pandangan? Dan apakah yang dapat dilihat oleh mata jika
wajah itu tidak terbuka yang memungkinkan menarik minat dan dapat
menimbulkan fitnah? Dan apa ertinya bahawa kahwin itu dapat lebih
menundukkan pandangan jika mata tidak pernah dapat melihat sesuatu pun
dari tubuh wanita?
4. Ayat “meskipun kecantikannya menarik hatimu”
Hal ini diperkuat lagi oleh firman Allah:
“Tidak
halal bagimu mengawini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh
(pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun
kecantikannya menarik hatimu…” (al-Ahzab: 52)
Maka dari manakah
laki-laki akan tertarik kecantikan wanita kalau tidak ada kemungkinan
melihat wajah yang sudah disepakati merupakan pusat kecantikan wanita?
5. Hadis: “Apabila salah seorang di antara kamu melihat wanita lantas ia tertarik kepadanya.”
Nash-nash
dan fakta-fakta menunjukkan bahawa umumnya kaum wanita pada zaman Nabi
saw. jarang sekali yang memakai cadar, bahkan wajah mereka biasa
terbuka.
Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,
Muslim, dan Abu Daud dari Jabir bahawa Nabi saw. Pernah melihat
seorang wanita lalu beliau tertarik kepadanya, kemudian beliau
mendatangi Zainab – isterinya – yang waktu itu sedang menyamak kulit,
kemudian beliau melepaskan hasratnya, dan beliau bersabda:
“Sesungguhnya
wanita itu datang dalam gambaran syaitan dan pergi dalam gambaran
syaitan. Maka apabila salah seorang diantara kamu melihat seorang
wanita lantas ia tertarik kepadanya, maka hendaklah ia mendatangi
isterinya, kerana yang demikian itu dapat menghalangkan hasrat yang ada
dalam hatinya itu.” (HR Muslim)”[11]
Hadis ini juga diriwayatkan
oleh ad-Darimi dari ibnu Mas’ud, tetapi isteri Nabi saw. yang
disebutkan di situ ialah “Saudah,” dan beliau bersabda:
“Sesiapa
yang melihat seorang wanita yang menarik hatinya, maka hendaklah ia
mendatangi isterinya, kerana apa yang dimiliki wanita itu ada pula pada
isterinya.”
Imam Ahmad meriwayatkan kisah itu dari hadis Abi Kabsyah al-Anmari bahawa Nabi saw. bersabda:
“Seorang
wanita (si Fulanah) melalui saya, maka timbullah hasrat hatiku
terhadap wanita itu, lalu saya datangi salah seorang isteri saya,
kemudian saya campuri dia. Demikianlah hendaknya yang kamu lakukan,
kerana diantara tindakanmu yang ideal ialah melakukan sesuatu yang
halal.”[12]
Peristiwa yang menjadi sebab atau latar belakang
timbulnya hadis ini menunjukkan bahawa Rasul yang mulia melihat seorang
wanita tertentu, lantas timbul hasratnya terhadap wanita itu,
sebagaimana layaknya manusia dan seorang laki-laki. Tentu saja, hal ini
tidak mungkin terjadi tanpa melihat wajahnya, sehingga dapat dikenal si
Fulanah atau si Anu. Dalam hal ini, pandangannya itulah yang
menimbulkan hasratnya selaku manusia, sebagaimana sabda beliau:
“Apabila salah seorang diantara kamu melihat seorang wanita lantas
hatinya tertarik kepadanya …” Maka menunjukkan bahawa hal ini mudah
terjadi dan biasa terjadi.
6. Hadis: “Lalu beliau menaikkan pandangannya dan mengarahkannya.”
Diantaranya
lagi ialah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Sahl
bin Sa’ad bahawa seorang wanita datang kepada Nabi saw. lalu ia
berkata, “Wahai Rasulullah, saya datang hendak memberikan diri saya
kepadamu.” Lalu Rasulullah saw. melihatnya, lantas menaikkan
pandangannya dan mengarahkannya terhadapnya, kemudian menundukkan
kepalanya. Ketika wanita itu tahu bahawa Rasulullah saw. tidak berminat
kepadanya, maka ia pun duduk.
Seandainya wanita itu tidak terbuka
wajahnya, niscaya Nabi saw. tidak mungkin dapat melihat kepadanya, dan
memandangnya agak lama, dengan menaikkan dan mengarahkan pandangannya
(memandang ke atas dan ke bawah, dari atas sampai bawah).
Wanita
itu berbuat demikian bukanlah untuk keperluan pinangan. Kemudian dia
menutup wajahnya setelah itu, bahkan disebutkan bahawa dia lantas duduk
dalam kondisi seperti pada waktu dia datang. Maka sebahagian sahabat
yang hadir dan melihat wanita tersebut meminta kepada Rasulullah saw.
Agar menikahkannya dengan wanita itu.
7. Hadis al-Khats’amiyah dan al-Fadhl bin Abbas
Imam
Nasa’i meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang wanita dari
Khats’am meminta fatwa kepada Rasulullah saw. pada waktu haji wada’ dan
al-Fadhl bin Abbas pada waktu itu membonceng Rasulullah saw. Kemudian
Imam Nasa’i menyebutkan kelanjutan hadis itu, “Kemudian al-Fadhl
melirik wanita itu, dan ternyata dia seorang wanita yang cantik.
Rasulullah saw. lantas memalingkan wajah al-Fadhl ke arah lain.”
lbnu
Hazm berkata, “Andaikata wajah itu aurat yang harus ditutup, sudah
barang tentu Rasulullah saw. tidak mengakui (tidak membenarkan) wanita
itu membuka wajahnya di hadapan orang ramai, dan sudah pasti beliau
menyuruhnya melabuhkan pakaiannya dari atas. Dan seandainya wajahnya
tertutup niscaya putera Abbas itu tidak akan tahu apakah wanita itu
cantik atau jelek. Dengan demikian, secara meyakinkan benarlah apa yang
kami katakan. Segala puji kepunyaan Allah dengan sebanyak-banyaknya.”
Imam
Tirmidzi meriwayatkan cerita ini dari hadis Ali r.a. yang di situ
disebutkan: “Dan Nabi saw. memalingkan wajah al-Fadhl. Lalu al-Abbas
bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau putar leher anak pamanmu?’
beliau menjawab, ‘Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan
aku tidak merasa aman terhadap gangguan syaitan kepada mereka.’”
Tirmidzi berkata, “Hadis (di atas) hasan sahih.”[13]
Al-Allamah asy-Syaukani berkata:
“Dari
hadis ini Ibnu Qudamah mengistimbath hukum akan bolehnya melihat
wanita ketika aman dari fitnah, kerana Nabi saw. Tidak menyuruhnya
menutup wajah. Seandainya al-Abbas tidak memahami bahawa memandang itu
boleh, niscaya ia tidak akan bertanya, dan seandainya apa yang difahami
Abbas itu tidak boleh niscaya Nabi saw. tidak akan mengakuinya.”
Selanjutnya beliau berkata:
“Hadis
ini dapat dijadikan dalil untuk mengkhususkan ayat hijab yang
disebutkan sebelumnya, yakni (yang ertinya): “Apabila kamu meminta
sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah
dari belakang tabir.” (al-Ahzab: 53).
Ayat tersebut khusus
mengenai isteri-isteri Nabi saw., sebab kisah al-Fadhl itu terjadi pada
waktu haji wada’, sedangkan ayat hijab itu turun pada waktu pernikahan
Zainab, pada tahun kelima hijrah,[14] (yang bererti ayat ini lebih
dulu turun daripada peristiwa al-Fadhl itu; penj.).
8. Hadis-hadis Lain
Diantara
hadis-hadis lain yang menunjukkan hal ini ialah yang diriwayatkan
dalam ash-Shahih dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: Saya hadir
bersama Rasulullah saw. pada hari raya (Id), lalu beliau memulai shalat
sebelum khutbah …. Kemudian beliau berjalan hingga tiba di tempat kaum
wanita, lantas beliau menasihati dan mengingatkan mereka seraya
bersabda: “Bersedekahlah kamu kerana kebanyakan kamu adalah umpan
neraka Jahanam.” Lalu berdirilah seorang wanita yang baik yang kedua
pipinya berwarna hitam kemerah-merahan, lalu ia bertanya, “Mengapa,
wahai Rasulullah?” Beliau menjawab:
“Kerana kamu banyak mengeluh dan mengkufuri pergaulan (dengan suami).”
Jabir berkata, “Lalu mereka menyedekahkan perhiasan mereka, melemparkan anting-anting dan cincin mereka ke pakaian Bilal.”
Maka, dari manakah Jabir mengetahui bahawa pipi wanita itu hitam kemerah-merahan kalau wajahnya tertutup dengan cadar?
Selain
itu, Imam Bukhari juga meriwayatkan kisah shalat Id dari Ibnu Abbas,
bahawa dia menghadiri shalat Id bersama Rasulullah saw., dan beliau
berkhutbah sesudah shalat, kemudian beliau datang kepada kaum wanita
bersama Bilal untuk menasihati dan mengingatkan mereka serta menyuruh
mereka bersedekah. Ibnu Abbas berkata, “Maka saya lihat mereka
mengulurkan tangan mereka ke bawah dan melemparkan (perhiasannya) ke
pakaian Bilal.”
Ibnu Hazm berkata, “Ibnu Abbas di sisi Rasulullah
saw. melihat tangan wanita-wanita itu. Maka benarlah bahawa tangan dan
wajah wanita itu bukan aurat.”[15]
Hadis itu juga diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud dan lafal ini adalah lafal Abu Daud dari Jabir:
“Bahawa
Nabi saw. berdiri pada hari raya Idul Fitri, lalu beliau melakukan
shalat sebelum kbutbah, kemudian beliau mengkhutbahi orang ramai.
Setelah selesai kbutbah, Nabi saw. turun, lalu beliau mendatangi kaum
wanita seraya mengingatkan mereka, sambil bertelekan pada tangan
Bilal,’ dan Bilal membentangkan pakaiannya tempat kaum wanita
melemparkan sedekah.” Jabir berkata “Seorang wanita melemparkan
cincinnya yang besar dan tidak bermata, dan wanita-wanita lain pun
melemparkann sedekahnya.”[16]
Abu Muhammad bin Hazm berkata,
“Al-Fatakh ialah cincin-cincin besar yang biasa dipakai oleh kaum
wanita pada jari-jari mereka seandainya mereka tidak membuka
tangan-tangan mereka maka tidak mungkin mereka dapat melepas dan
melemparkan cincin-cincin itu.”[17]
Diantaranya lagi yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a., ia berkata,
“Wanita-wanita mukminah menghadiri shalat subuh bersama Nabi saw.
Sambil menyelimutkan selimut mereka. Kemudian mereka pulang ke rumah
masing-masing setelah selesai menunaikan shalat, sedangkan mereka tidak
dikenal (satu per satu) kerana hari masih gelap.”
Mafhum riwayat
ini menunjukkan bahawa wanita-wanita itu dapat dikenal jika hari tidak
gelap, dan mereka itu hanya dapat dikenal apabila wajah mereka
terbuka.
Diantaranya lagi ialah riwayat Muslim dalam Shahih-nya
bahawa Subai’ah binti al-Harits menjadi isteri Sa’ad bin Khaulah, salah
seorang yang turut serta dalam Perang Badar. Sa’ad meninggal dunia
pada waktu haji wada’ ketika Subai’ah sedang hamil. Tidak lama setelah
kematian Sa’ad itu dia pun melahirkan kandungannya. Maka ketika telah
berhenti nifasnya, dia bersolek untuk mencari pinangan, lalu datanglah
Abus Sanabil bin Ba’kuk kepadanya seraya bertanya “Mengapa aku lihat
engkau bersolek, barangkali engkau ingin kahwin? Demi Allah,
sesungguhnya engkau belum boleh kahwin, sehingga berlalu atasmu
tenggang waktu selama empat bulan sepuluh hari.” Subai’ah berkata,
“Setelah dia berkata begitu kepadaku, maka aku kumpulkan pakaianku pada
malam harinya, lalu aku datang kepada Rasulullah saw. dan aku tanyakan
hal itu kepada beliau, lalu beliau memberi fatwa kepadaku bahawa aku
telah halal untuk kahwin lagi setelah aku melahirkan kandunganku, dan
beliau menyuruhku kahwin apabila sudah ada calon yang cocok untukku.”
Hadis
ini menunjukkan bahawa Subai’ah muncul dengan bersolek di hadapan Abus
Sanabil, padahal Abus Sanabil itu bukan mahramnya, bahkan ia termasuk
salah seorang yang melamarnya setelah itu. Seandainya wajahnya tidak
terbuka, sudah tentu Abus Sanabil tidak tahu apakah dia bersolek atau
tidak.
Dan diriwayatkan dari Ammar bin Yasir r.a. bahawa seorang
laki-laki dilalui oleh seorang wanita dihadapannya, lalu dia
memandangnya dengan tajam, kemudian dia melalui suatu dinding lantas
wajahnya terbentur dinding, lantas dia datang kepada Rasulullah saw.
sedangkan mukanya berdarah, lalu dia berkata, Wahai Rasulullah, saya
telah berbuat begini dan begini.” Lalu Rasulullah saw. bersabda:
“Apabila
Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang, maka disegerakannya hukuman
dosanya di dunia, dan jika Dia menghendaki yang lain untuk orang itu,
maka ditunda-Nya hukuman atas dosa-dosanya sehingga dibalasnya secara
penuh pada hari kiamat seakan-akan dia itu himar.”[18]
Ini
menunjukkan bahawa wanita-wanita itu menampakkan atau terbuka wajahnya,
dan diantaranya ada yang wajahnya menarik pandangan laki-laki sehingga
yang bersangkutan terbentur dinding kerana memandangnya dan berdarah
mukanya.
9. Para Sahabat Memandang Aneh Memakai Cadar
Diperoleh
keterangan dalam Sunnah yang menunjukkan bahawa apabila pada suatu
waktu ada wanita yang memakai cadar, maka hal itu dianggap aneh,
menarik perhatian, dan menimbulkan pertanyaan,
Abu Daud
meriwayatkan dari Qais bin Syamas r.a., ia berkata, “Seorang wanita
yang bernama Ummu Khalad datang kepada Nabi saw. sambil memakai cadar
(penutup muka) untuk menanyakan anaknya yang terbunuh. Lalu sebahagian
sahabat Nabi berkata kepadanya, ‘Anda datang untuk menanyakan anak Anda
sambil memakai cadar?’ Lalu dia menjawab, ‘Jika aku telah kehilangan
anakku, maka aku tidak kehilangan perasaan maluku …”[19]
Jika
cadar itu sudah menjadi kebiasaan pada waktu itu, maka tidak perlulah
si perawi mengatakan bahawa dia datang dengan “memakai cadar,” dan
tidak ada ertinya pula kehairanan para sahabat dengan mengatakan, “Anda
datang untuk menanyakan anak Anda sambil memakai cadar?”
Bahkan
dari jawapan wanita itu menunjukkan bahawa perasaan malunyalah yang
mendorongnya memakai cadar, bukan kerana perintah Allah dan Rasul-Nya.
Dan seandainya cadar itu diwajibkan oleh syara’, maka tidak mungkin ia
menjawab dengan jawapan seperti itu, bahkan tidak mungkin timbul
pertanyaan dari para sahabat dengan pertanyaan seperti itu, kerana
seorang muslim tidak akan menanyakan, “Mengapa dia melakukan shalat?
Mengapa dia mengeluarkan zakat?” Dan telah ditetapkan dalam kaedah,
“Apa yang sudah ada dasarnya tidak perlu ditanyakan ‘illat-nya.”
10. Tuntutan Muamalah Mengharuskan Mengenal/Mengetahui Peribadi yang Bersangkutan
Muamalah
(pergaulan) seorang wanita dengan orang lain dalam berbagai persoalan
hidup mengharuskan peribadinya dikenal oleh orang-orang yang
bermuamalah dengannya, baik sebagai penjual mahupun pembeli, yang
mewakilkan mahupun yang menjadi wakil, menjadi saksi, penggugat,
ataupun tergugat. Kerana itu, para fuqaha telah sepakat bahawa seorang
wanita harus membuka wajahnya apabila sedang beperkara di muka
pengadilan, sehingga hakim boleh mengetahui personalia saksi dan
orang-orang yang beperkara. Seseorang (wanita) tidak mungkin dapat
diketahui atau dikenal identitinya jika sebelumnya wajahnya tidak
dikenal oleh masyarakat. Maka tidak ada ertinya bagi seorang wanita
membuka wajahnya di sidang pengadilan jika sebelumnya memang tidak
pernah dikenal oleh masyarakat di sekitarnya.
Dalil-dalil Golongan yang Mewajibkan Cadar
Setelah
kita mengetahui dalil-dalil cemerlang dari jumhur ulama, sekarang kita
cuba lihat dalil-dalil golongan minoriti yang menentangnya.
Sebetulnya
saya tidak menemukan – bagi golongan yang mewajibkan cadar dan menutup
muka dan tangan – dalil syara’ yang shahih tsubut (jalan
periwayatannya) dan sharih dilalahnya (jelas petunjuknya) yang selamat
dari sanggahan, yang sekiranya dapat melapangkan dada dan menenangkan
hati.
Semua dalil mereka merupakan nash-nash yang mutasyabihat
(samar) yang ditolak oleh nash-nash muhkamat dan bertentangan dengan
dalil-dalil yang jelas dan terang.
Berikut ini saya kemukakan beberapa dalil yang mereka anggap paling kuat berikut sanggahan saya terhadapnya.
A. Penafsiran sebahagian ahli tafsir terhadap ayat “jilbab” yang termaktub dalam firman Allah berikut:
“Hai
Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan
isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke
seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah
untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu …” (al-Ahzab: 59)
Diriwayatkan
dari beberapa mufasir (ahli tafsir) salaf mengenai penafsiran
“mengulurkan jilbab ke seluruh tubuh mereka” bahawa mereka menutupkan
jilbab mereka ke seluruh wajah mereka, dan tidak ada yang tampak
sedikit pun kecuali sebelah matanya untuk melihat.
Penafsiran
tersebut di antaranya diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, dan
Ubaidah as-Salmani. Tetapi, tidak ada kesepakatan mengenai makna
“jilbab” dan “mengulurkan” dalam ayat tersebut.
Yang
menghairankan justeru dijumpai penafsiran dari Ibnu Abbas yang
bertentangan dengan penafsiran tersebut ketika menafsirkan firman Allah
“kecuali apa yang biasa tampak daripadanya” (an-Nur: 31). Yang lebih
menghairankan lagi ialah sebahagian ahli tafsir berbeza-beza dalam
menafsirkan surah al-Ahzab, tetapi mereka memilih penafsiran yang
justeru bertentangan dengan penafsiran surah an-Nur.
Di dalam
Syarah Muslim dalam mensyarah hadis Ummu Athiyah tentang shalat Id
(ertinya): “Salah seorang diantara kami tidak mempunyai jilbab …” Imam
Nawawi berkata: “An-Nadhr bin Syamil berkata, ‘jilbab itu ialah kain
(pakaian) yang lebih pendek tetapi lebih lebar daripada tudung, iaitu
tutup kepala yang dipakai wanita untuk menutup kepalanya. Ada juga yang
mengatakan bahawa jilbab adalah pakaian yang luas tetapi masih dibawah
selendang, yang digunakan oleh wanita untuk menutup dada dan
punggungnya. Ada pula yang mengatakannya seperti selimut. Ada yang
mengatakannya sarung, serta ada pula yang mengatakannya tudung.”[20]
Tetapi
bagaimanapun, sesungguhnya firman Allah “hendaklah mereka mengulurkan
jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” tidak memastikan menutup wajah, baik
dilihat dari segi bahasa mahupun dari segi adat kebiasaan, dan tidak
ada satu pun dalil dari Al- Qur’an As-Sunnah, mahupun ijma, yang
menetapkan begitu. Disamping itu pendapat sebahagian ahli tafsir bahawa
ayat itu memastikan menutup muka, bertentangan dengan pendapat
sebahagian yang lain yang mengatakan bahawa ayat itu tidak menetapkan
menutup muka, sebagaimana yang dikatakan oleh pengarang Adhwa’ui Bayan
rahimahullah
Dengan demikian, pengajuan ayat tersebut sebagai dalil untuk menetapkan kewajipan menutup wajah menjadi gugur.
B.
Yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud dalam menafsirkan firman Allah:
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa
tampak daripadanya,” bahawa apa yang biasa tampak dari perhiasan itu
ialah selendang dan pakaian luar.
Penafsiran ini bertentangan
dengan penafsiran yang sahih dari sahabat-sahabat lain seperti Ibnu
Abbas, Ibnu Umar, Aisyah, Anas, dan para tabi’in bahawa yang dimaksud
ialah celak dan cincin, atau bahagian tubuh yang ditempati celak dan
cincin, yakni wajah dan tangan. Ibnu Hazm mengemukakan bahawa ketetapan
riwayat dari sahabat mengenai penafsiran ini sangat sahih.
Penafsiran
(yang kedua) ini didukung oleh keterangan yang dikemukakan oleh
Al-Allamah Ahmad bin Ahmad Asy-Syanqithi di dalam kitab Mawahibul Jalil
min Adillati Khalil, beliau berkata, “Barangsiapa yang bergantung pada
penafsiran Ibnu Mas’ud terhadap ayat ‘kecuali yang biasa tampak
daripadanya’ bahawa yang dimaksud ialah selimut, maka dapat diberi
jawapan: sebaik-baik perkara untuk menafsirkan Al-Qur’an adalah
Al-Qur’an, dan Al-Qur’an menafsirkan zinatul mar’ah dengan al-huliyi
(perhiasan). Allah SWT berfirman:
“… Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan…” (an-Nur: 31)[21]
Maka nyatalah bahawa erti zinatul mar’ah ialah perhiasan (gelang kaki dan sebagainya).”[22]
Ini
diperkuat pula dengan apa yang saya katakan sebelumnya bahawa
pengecualian dalam ayat tersebut dimaksudkan untuk memberi keringanan
dan kemudahan. Sedangkan terlihatnya pakaian luar seperti selimut dan
sebagainya itu merupakan sesuatu yang pasti terlihat, bukan rukhshah
(keringanan) juga bukan pemberian kemudahan.
C. Apa yang dikemukakan oleh pengarang Adhwa’ul Bayan tentang berdalil dengan firman Allah mengenai isteri-isteri Nabi:
“…
Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri
Nabi), maka mintalah dan belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih
suci bagi hatimu dan hati mereka …” (al-Ahzab: 53)
Sesungguhnya
penetapan ‘illat dari Allah terhadap hukum mewajibkan hijab – kerana
hati laki-laki dan perempuan akan lebih suci dari keragu raguan
sebagaimana tersebut dalam firman-Nya “yang demikian itu lebih suci
bagi hatimu dan hati mereka” – merupakan indikasi yang jelas yang
menunjukkan tujuan hukum. Kerana tidak ada seorang pun diantara kaum
muslimin yang mengatakan bahawa selain isteri-isteri Nabi saw. tidak
memerlukan kesucian hati (tidak perlu disucikan hatinya) dari
keraguan/kecurigaan.
Namun demikian, apabila orang mahu
merenungkan makna dan susunan kalimat ayat tersebut niscaya akan dia
dapati bahawa “kesucian yang disebutkan sebagai ‘illat hukum bukanlah
dari keraguan mereka (para isteri Nabi saw.), sebab keraguan semacam ini
jauh dari mereka yang memiliki kedudukan demikian luhur. Selain itu,
tidak terbayangkan jika di hati ummahatul mu’minin serta para sahabat –
yang masuk ke tempat mereka – terdapat keraguan atau kecurigaan seperti
itu. Tetapi kesucian itu semata-mata dari memikirkan perkahwinan yang
halal yang kadang-kadang memang terlintas dalam hati salah satu pihak –
sepeninggal Rasulullah saw..
Sedangkan argumen mereka dengan
ayat “maka mintalah kepada mereka dari belakang tabir” tidaklah benar,
kerana hal ini khusus mengenai isteri-isteri Nabi sebagaimana yang
tampak dengan jelas. Demikian juga, perkataan mereka: (“Yang dipakai
ialah keumuman lafal, bukan khusus yang berkaitan dengan sebabnya”)
tidaklah berlaku disini, sebab lafal ayat tersebut bukan lafal umum.
Begitupun halnya dengan qiyas yang mereka lakukan – yang menyamakan
semua wanita dengan isteri-isteri Nabi-merupakan qiyas yang tertolak.
Qiyas seperti itu termasuk qiyas ma’a al-faariq (qiyas yang berantakan,
tidak memenuhi syarat), kerana mereka (isteri-isteri Nabi) terkena
hukum yang berat yang tidak dikenakan kepada selain mereka. Kerana itu
Allah berfirman:
“Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain …” (al-Ahzab: 32)
D. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Bukhari dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah saw. bersabda:
“Janganlah wanita yang sedang ihram memakai cadar dan jangan memakai kaos tangan.”[23]
Hadis
tersebut, menurut mereka, menunjukkan bahawa cadar dan kaos tangan
sudah terkenal di kalangan wanita yang tidak sedang ihram.
Saya
tidak menyangkal bahawa sebahagian wanita mengenakan cadar dan kaos
tangan atas kemahuan mereka sendiri, ketika tidak sedang melakukan
ihram. Tetapi, mana dalil yang menunjukkan bahawa yang demikian itu
wajib? Bahkan kalau peristiwa atau hadis ini dijadikan dalil untuk
menunjukkan yang sebaliknya, maka itulah yang rasional, sebab
larangan-larangan dalam ihram itu pada asalnya adalah mubah, seperti
mengenakan pakaian yang berjahit, wangi-wangian, berburu, dan
sebagainya. Tidak ada sesuatu pun yang asalnya wajib kemudian dilarang
dalam ihram.
Kerana itu, ramai fuqaha – sebagaimana telah saya
sebutkan sebelumnya – yang justeru berdalil dengan hadis ini untuk
menetapkan bahawa wajah dan tangan itu bukan aurat; sebab kalau tidak
demikian maka tidak mungkin beliau mewajibkan membukanya (pada waktu
ihram).
E. Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Baihaqi dari Aisyah, ia berkata:
“Ada
beberapa orang yang menunggang kenderaan yang melalui kami ketika kami
sedang berihram bersama Rasulullah saw.. Apabila mereka berpapasan
dengan kami, masing-masing kami mengulurkan jilbabnya dan kepalanya ke
atas wajahnya, dan apabila mereka telah melalui kami maka kami buka
jilbab itu.”
Hadis ini tidak dapat dijadikan hujjah kerana beberapa hal:
1.Hadis
ini dha’if, kerana di dalam isnadnya terdapat Yazid bin Abi Ziyad,
sedangkan dia menjadi pembicaraan. Sedangkan hadis dha’if tidak dapat
dijadikan hujjah untuk menetapkan hukum.
2.Apa yang dilakukan
Aisyah dalam hadis ini (seandainya bersanad sahih) tidak menunjukkan
kepada wajib, kerana perbuatan Rasul sendiri tidak menunjukkan hukum
wajib, maka bagaimana lagi dengan perbuatan orang yang selain beliau?
3.Kita
mengenal kaedah dalam ushul: “bahawa suatu kejadian yang mengandungi
serba kemungkinan, maka ia adalah mujmal (global) kerana itu tidak
dapat dijadikan dalil.”
Dengan demikian, kemungkinan yang terjadi
disini ialah bahawa hal itu merupakan hukum khusus mengenai para ummul
mu’minin (isteri-isteri Nabi saw.) disamping hukum-hukum khusus lainnya
untuk mereka, seperti haramnya mengawini mereka sepeninggal Rasulullah
saw., dan sebagainya.[24]
F. Riwayat Imam Tirmidzi secara marfu’:
“Wanita itu aurat; apabila ia keluar maka ia didekati oleh syaitan.”[25]
Sebahagian
ulama Syafi’iyah dan Hanabilah menjadikan hadis ini sebagai dasar
untuk menetapkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat, serta mereka
tidak mengecualikan wajah, tangan, dan kaki. Sebenarnya hadis ini
tidak menetapkan hukum secara menyeluruh sebagaimana yang mereka
kemukakan itu, tetapi hanya menunjukkan bahawa pada dasarnya wanita itu
terlindungi dan tertutup, tidak terbuka dan terhina. Dan hadis ini
cukup menetapkan bahawa sebahagian besar tubuh wanita itu aurat.
Andaikata hadis ini hanya diambil pengertian lahiriahnya, niscaya tidak
boleh membuka sedikit pun tubuhnya dalam shalat dan haji, tetapi hal
ini bertentangan dengan dalil yang sahih dan meyakinkan -tentang
dibukanya wajah dan tangan dalam shalat dan haji.
Maka, bagaimana
mungkin dapat digambarkan bahawa wajah dan tangan itu aurat, padahal
sudah disepakati tentang dibukanya pada waktu shalat dan wajib
membukanya pada waktu ihram? Apakah masuk akal bahawa syara’
memperbolehkan membuka aurat pada waktu shalat dan mewajibkan
membukanya pada waktu ihram – kalau wajah dan tangan itu termasuk
aurat?
G. Ada dalil lain yang dipakai golongan yang mewajibkan
cadar ini apabila mereka tidak mendapatkan dalil nash yang muhkamat,
iaitu mereka menggunakan saddudz dzari’ah (menutup pintu
kerosakan/usaha preventif) . Inilah senjata mereka yang termasyhur
apabila senjata-senjata lainnya sudah tumpul.
Saddudz dzari’ah ini
dimaksudkan untuk mencegah sesuatu yang mubah kerana dikhuwatirkan
akan terjatuh pada yang haram. Tetapi’ hal ini masih diperselisihkan
oleh para fuqaha, antara golongan yang melarang dan memperbolehkan
(penggunan teori ini), serta antara yang memperlapang dan mempersempit.
Al-Allamah Ibnul Qayyim mengemukakan sembilan alasan yang menunjukkan
disyariatkannya saddudz dzari’ah ini dalam kitab beliau llam
al-Muwaqqi’in.
Tetapi, yang sudah menjadi ketetapan para muhaqqiq
dari kalangan ulama fiqih dan ushul ialah bahawa berlebih-lebihan
dalam menutup “pintu/jalan” sama dengan berlebih-lebihan dalam
membukanya. Berlebihan dalam membuka “jalan” akan mengakibatkan banyak
kerosakan yang membahayakan manusia dalam urusan agama dan dunia
mereka. Sedangkan berlebihan dalam menutup “jalan” akan menghilangkan
banyak sekali kemaslahatan manusia dalam urusan kehidupan dan urusan
akhirat mereka.
Apabila Asy-Syari’ (Allah dan Rasul-Nya) telah
membuka sesuatu dengan nash dan kaedah, maka kita tidak boleh
menutupnya dengan pemikiran dan kekhuwatiran-kekhuwatiran kita, lantas
kita halalkan apa yang telah diharamkan Allah atau kita membuat syariat
yang tidak diizinkan Allah.
Kaum muslim pada zaman dulu telah
bersikap sangat ketat dengan alasan “membendung pintu fitnah” (saddudz
dzari’fah ila al-fitnah), lalu mereka mengharamkan wanita pergi ke
masjid. Dengan demikian, mereka telah menghalangi kaum wanita untuk
mendapatkan kebaikan yang banyak, sedangkan ayah atau suaminya belum
tentu dapat menggantikan apa-apa yang seharusnya mereka dapatkan dari
masjid, seperti ilmu yang bermanfaat atau nasihat-nasihat yang dapat
menyadarkannya. Sebagai akibatnya, ramai wanita muslimah yang hanya
hidup bersenang-senang dengan tidak pernah sekali pun ruku kepada Allah.
Padahal Rasulullah saw. dengan tegas mengatakan:
“Janganlah kamu larang hamba-hamba perempuan Allah datang ke masjid-masjid Allah.” (HR Muslim)
Secara
berkala terjadilah diskusi-diskusi di kalangan kaum muslim seputar
masalah kegiatan belajar kaum wanita dan kepergiannya ke sekolah atau
kampus. Yang menjadi hujjah golongan yang melarangnya ialah saddudz
dzari’ah. Sementara itu, kenyataan menunjukkan bahawa wanita yang
berpendidikan lebih mampu membuat keterampilan dan berbagai kesibukan
tulis-menulis atau surat-menyurat. Akhirnya, diskusi itu berkesudahan
dengan keputusan bahawa kaum wanita boleh mempelajari semua ilmu yang
bermanfaat untuk dirinya, keluarganya, dan masyarakatnya, baik mengenai
ilmu agama mahupun ilmu dunia, dan kondisi inilah yang dominan di
semua negara Islam tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya, kecuali
hal-hal yang menyimpang dari adab dan hukum Islam.
Cukuplah bagi
kita hukum-hukum dan adab-adab yang telah ditetapkan oleh syara’ untuk
menutup pintu kerosakan dan fitnah. Seperti kewajipan mengenakan
pakaian menurut aturan syara’, tidak boleh bertabarruj (membuka aurat),
haramnya berduaan antara laki-laki dan perempuan, wajib bersikap
serius dan sopan dalam berbicara, berjalan, dan beraktiviti, serta
wajib menahan pandangan terhadap lawan jenis. Kiranya hal ini sudah
cukup bagi kita sehingga tidak perlu lagi kita memikirkan
larangan-larangan lain dari kita sendiri.
H. Diantara dalil
mereka lagi: ‘urf (kebiasaan) yang berlaku di kalangan kaum muslim
selama beberapa abad, bahawa kaum wanita menutup wajahnya dengan
selubung muka, cadar, dan sebagainya.
Sebahagian ulama berkata: “‘Urf di dalam syara’ mempunyai penilaian, kerana itu diatasnya hukum ditegakkan.”
Selain
itu, Imam Nawawi dan lainnya telah meriwayatkan dari Imam al-Haramain –
dalam berdalil tentang tidak bolehnya wanita memandang laki-laki –
bahawa kaum muslim telah sepakat melarang wanita keluar rumah dengan
wajah terbuka.
Akan tetapi, saya tolak alasan dan anggapan ini dengan beberapa alasan seperti berikut:
1.Bahawa
‘urf ini bertentangan dengan ‘urf yang berlaku pada zaman Nabi, zaman
sahabat, dan pada zaman generasi terbaik, iaitu generasi yang mengikuti
jejak langkah para sahabat (yakni tabi’in).
2.Bahawa ‘urf itu
bukan ‘urf umum, bahkan ‘urf itu berlaku di suatu negara tetapi tidak
berlaku di desa-desa dan kampung-kampung, sebagaimana yang sudah
dimaklumi.
3.Bahawa perbuatan Nabi al-Ma’shum saw. tidak
menunjukkan hukum wajib, tetapi hanya menunjukkan kebolehan dan
pensyariatan sebagaimana ditetapkan dalam ushul, maka bagaimana lagi
dengan perbuatan orang lain?
Kerana itu, ‘urf atau kebiasaan ini –
meskipun kita terima sebagai ‘urf umum sekalipun – tidak lebih hanya
menunjukkan bahawa mereka menganggap bagus memakai cadar itu, sebagai
sikap kehati-hatian mereka, dan tidak menunjukkan bahawa mereka
mewajibkan cadar sebagai ketentuan agama.
4.’Urf ini bertentangan
dengan ‘urf atau kebiasaan yang terjadi sekarang, sesuai dengan
tuntutan keperluan dan perkembangan zaman, tuntutan keperluan hidup,
tata kehidupan masyarakat, dan perubahan kondisi kaum wanita dari
kebodohan kepada keilmuan (berpengetahuan), dari kebekuan kepada
pergerakan, dan dari cuma duduk di dalam rumah menuju ke aktiviti dalam
berbagai lapangan yang bermacam-macam.
Sedangkan hukum-hukum
yang ditetapkan berdasarkan ‘urf atau kebiasaan di suatu tempat dan
pada suatu waktu, ia akan berubah sesuai dengan perubahannya.
Syubhat Terakhir
Akhirnya
saya kemukakan juga di sini suatu syubhat yang ditimbulkan oleh
sebahagian orang yang peduli terhadap agama yang ingin mempersempit
ruang kebebasan wanita,yang ringkasnya seperti berikut:
“‘Kami
menerima argumen yang Anda kemukakan tentang disyariatkan
(diperbolehkan)-nya wanita membuka wajahnya, sebagaimana kami juga
menerima bahawa kaum wanita pada periode pertama – masa Nabi dan
Khulafa ar-Rasyidin – tidak memakai cadar melainkan pada keadaan
tertentu saja yang sedikit jumlahnya.
Tetapi kita harus mengerti
bahawa zaman itu merupakan zaman yang ideal, akhlaknya bersih,
rohaniahnya tinggi, wanita aman membuka wajahnya tanpa ada seorang pun
yang mengganggunya. Berbeza dengan zaman kita dimana kerosakan sudah
bermaharajalela, dekadensi moral terjadi dimana-mana, fitnah menimpa
manusia dimana-mana, maka tidak ada yang lebih utama bagi wanita
daripada menutup wajahnya, sehingga tidak menjadi mangsa
serigala-serigala lapar yang senantiasa mengintainya di setiap
penjuru.”
Terhadap syubhat ini dapat saya kemukakan jawapan sebagai berikut:
PERTAMA:
bahawa meskipun periode awal merupakan periode yang ideal, yang tidak
ada tandingannya dalam hal kesucian akhlak dan ketinggian rohaninya,
tetapi mereka masih termasuk periode manusia juga, yang di dalamnya ada
kelemahan, hawa nafsu, dan kesalahan. Kerana itu di antara mereka ada
orang yang berbuat zina, ada yang dijatuhi hukuman had, ada yang
melakukan tindakan-tindakan yang masih dibawah zina, ada orang-orang
yang durhaka, dan ada pula orang-orang gila dan sinting yang suka
mengganggu kaum wanita dengan melakukan ulah-ulah yang menyimpang. Dan
telah turun ayat (dalam surah al-Ahzab) yang menyuruh wanita-wanita
beriman mengulurkan jilbab ke tubuh mereka agar mereka dapat dikenal
sebagai wanita-wanita merdeka yang sopan dan menjaga diri hingga tidak
diganggu:
“… Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu …” (Al-Ahzab: 59)
Selain
itu, telah turun pula beberapa ayat dalam surah al-Ahzab yang
mengancam kaum durhaka dan “sinting” itu jika mereka tidak mahu
meninggalkan perbuatan mereka yang hina itu. Allah berfirman:
“Sesungguhnya
jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit
dalam hatinya, dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di
Madinah (dari menyakitimu), niscaya kami perintahkan kamu (untuk
memerangi) mereka kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu (di Madinah)
melainkan dalam waktu yang sebentar, dialam keadaan terlaknat. Dimana
saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan
sehebat-hebatnya.” (al-Ahzab: 60-61)
KEDUA: bahawa dalil-dalil
syariah – apabila telah sah dan jelas-bersifat umum dan abadi. Ia bukan
dalil untuk satu atau dua periode saja, kemudian berhenti dan tidak
dijadikan dalil lagi. Sebab, jika demikian, maka syariat itu hanya
bersifat temporal, tidak abadi, dan hal ini bertentangan dengan
predikatnya sebagai syariat terakhir.
KETIGA: kalau kita buka
pintu ini, maka kita mungkin saja menasakh (menghapus) syariat dengan
fikiran kita, orang-orang yang ketat dapat saja menasakh hukum-hukum
yang mudah dan ringan dengan alasan wara’ dan hati-hati, dan
orang-orang yang longgar dapat menasakh hukum-hukum yang telah baku
dengan alasan perkembangan zaman dan sebagainya.
Yang benar,
bahawa syariat adalah yang menghukumi bukan yang dihukumi, yang diikuti
bukan yang mengikuti, dan kita wajib tunduk kepada hukum syariat,
bukan hukum syariat yang tunduk kepada peraturan kita:
“Andaikata
kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan
bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya …” (al-Mu’minun: 71)
Beberapa Pernyataan Yang Menguatkan Pendapat Jumhur
Saya
percaya bahawa persoalan ini telah begitu jelas setelah saya kemukakan
argumen kedua belah pihak, dan semakin jelas bagi kita bahawa pendapat
jumhurlah yang lebih rajih (kuat) dalilnya, lebih mantap pendapatnya,
dan lebih lempang jalannya.
Namun demikian, perlu kiranya saya
tambahkan disini beberapa pernyataan yang menambah kuatnya pendapat
jumhur, dan dapat melegakan hati setiap muslimah yang taat dan mengikuti
pendapat ini tanpa merasa kesulitan, insya Allah.
PERTAMA: Tidak Ada Penugasan dan Pengharaman Kecuali dengan Nash yang Sahih dan Sharih
Bahawa
pada dasarnya manusia itu terbebas dari tanggungan dan taklif (beban
tugas), dan tidak ada taklif kecuali dengan nash yang pasti. Kerana
itu, masalah mewajibkan dan mengharamkan dalam ad-Din itu merupakan
suatu urusan yang serius, bukan urusan sembarangan, sehingga kita tidak
mewajibkan kepada manusia apa yang tidak diwajibkan oleh Allah, atau
kita mengharamkan kepada mereka apa yang dihalalkan oleh Allah, atau
kita membuat syariat atau peraturan dalam ad-Din yang tidak diizinkan
oleh Allah.
Kerana itu, para imam salaf dahulu sangat
berhati-hati dalam mengucapkan kata haram kecuali terhadap sesuatu yang
sudah diketahui pengharamannya secara pasti sebagaimana yang
dikemukakan Imam Ibnu Taimiyah dan saya sebutkan dalam kitab saya
al-Halal wal-Haram fil-Islam.
Disamping itu, pada asalnya segala
sesuatu dan segala tindakan yang merupakan adat kebiasaan adalah mubah.
Maka apabila tidak didapati nash yang shahih tsubut (periwayatannya)
dan sharih (jelas) petunjuknya yang menunjukkan keharamannya, tetaplah
hal itu pada asal kebolehannya. Dan orang yang memperbolehkannya tidak
dituntut dalil, kerana apa yang ada menurut hukum asal tidak perlu
ditanyakan ‘illat-nya, justeru yang dituntut agar mengemukakan dalil
ialah orang yang mengharamkan.”[26]
Sedangkan mengenai masalah
membuka wajah dan tangan tidak saya jumpai nash yang sahih dan sharih
yang menunjukkan keharamannya. Andaikata Allah hendak mengharamkannya
niscaya sudah diharamkan-Nya dengan nash yang jelas dan qath’i yang
tidak meragukan, kerana Dia telah berfirman:
“… sesunguhnya Allah
telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali
apa yang terpaksa kamu memakannya…” (al-An’am: 119)
Sedangkan
dari apa-apa yang telah dijelaskan-Nya tidak kita dapati masalah
haramnya membuka wajah dan telapak tangan. Maka tidak perlulah kita
mempersukar apa yang telah dimudahkan Allah, sehingga kita tidak
tergolong ke dalam kaum yang disinyalir oleh Allah kerana mengharamkan
makanan yang halal:
“… Katakanlah: ‘Apakah Allah telah memberikan
izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap
Allah?’.” (Yunus: 59)
KEDUA: Perubahan Fatwa kerana Perubahan Zaman
Diantara
ketetapan yang tidak diperselisihkan lagi ialah bahawa fatwa itu boleh
berubah sesuai dengan perubahan zaman, tempat, adat kebiasaan, serta
situasi dan kondisi.
Saya percaya bahawa zaman kita yang telah
memberikan sesuatu kepada kaum wanita ini telah menjadikan kita
menerima pendapat-pendapat yang mudah, yang menguatkan posisi dan
keperibadian kaum wanita.
Sungguh, musuh-musuh Islam baik dari
kalangan misionaris, Marxis, orientalis, atau lainnya, telah mengekspos
kondisi buruk kaum di beberapa negara Islam, dan menyandarkannya kepada
Islam itu sendiri. Mereka juga berusaha menjelek-jelekkan hukum-hukum
syariat Islam beserta ajarannya mengenai wanita, dan digambarkannya
dengan gambaran yang tidak cocok dengan hakikat yang dibawa oleh Islam.
Kerana
itu saya melihat bahawa keunggulan pendapat dari sebahagian orang pada
zaman kita sekarang ialah pendapat yang menyadarkan kaum wanita dan
peranan serta kaum wanita serta kemampuannya menunaikan hak-hak
fitrahnya dan hak-hak syar’iyahnya, sebagaimana yang telah saya
jelaskan dalam kitab saya al-Ijtihad fi asy-Syari’ati Islamiyyah.
KETIGA: Bencana Umum
Saya
persilakan wanita muslimah yang sedang sibuk menjalankan dakwah agar
tidak memakai cadar, supaya tidak terjadi pemisahan antara mereka
dengan wanita-wanita muslimah lainnya, kerana kemaslahatan dakwah
disini lebih penting daripada melaksanakan pendapat yang dipandangnya
lebih hati-hati.
Diantara hal yang tidak diperdebatkan lagi ialah
bahawa terjadinya “bencana umum” (meratanya bencana) di kalangan
masyarakat ialah disebabkan oleh sikap meringankan dan mempermudah
urusan sebagai yang sudah diketahui oleh orang-orang yang sibuk
menggeluti ilmu fiqih dan ushul fiqih, dan untuk ini terdapat banyak
fakta dan data.
Dan bencana telah bermaharajalela pada hari ini
dengan keluarnya kaum wanita ke sekolah-sekolah, kampus-kampus,
tempat-tempat kerja, rumah-rumah sakit, pasar-pasar, dan sebagainya.
Mereka sudah tidak betah lagi tinggal di rumah sebagaimana pada
masa-masa sebelumnya. Semua ini menuntut mereka untuk membuka wajah dan
tangannya agar memudahkan gerak dan pergaulan mereka dengan kehidupan
dan makhluk hidup, dalam mengambil dan memberi, menjual dan membeli,
memahami dan memberikan pemahaman.
Alangkah baiknya kalau semua
persoalan itu hanya berhenti pada yang mubah atau yang diperselisihkan
saja seperti mengenai membuka wajah dan telapak tangan. Tetapi
persoalannya sudah melaju kepada yang sudah jelas-jelas haram, seperti
membuka bahu dan betis, kepala, leher, dan kuduk, dan wanita-wanita
muslimah juga ada yang melakukan bid’ah-bid’ah Barat (mode-mode) itu.
Disisi lain, kita jumpai pula wanita-wanita muslimah yang berpakaian
tetapi telanjang, yang bergaya dan berlenggak-lenggok dengan dandanan
dan mode rambut sedemikian rupa, persis seperti yang disinyalir dalam
hadis sahih dengan sinyalemen yang sangat jitu dan tepat.
Bagaimana kita akan bersikap ketat dalam masalah ini, sedangkan kebebasan dan kebinalan ini sudah terjadi di depan mata kita?
Sesungguhnya
peperangan ini tidak hanya seputar “wajah dan telapak tangan”: apakah
boleh dibuka ataukah tidak? Tetapi peperangan yang sebenarnya ialah
dengan mereka yang hendak menjadikan wanita muslimah sebagai potret
wanita Barat, dan hendak melepaskan identitinya dan melucuti ghirah
islamiyahnya, lantas mereka keluar rumah dengan berpakaian tetapi
telanjang, dengan berlenggak-lenggok miring ke kanan dan ke kiri.
Kerana
itu tidak boleh bagi saudara-saudara kita dan puteri-puteri kita yang
“bercadar” serta ikhwan dan putera-putera kita yang “menyerukan cadar”
membidikkan panahnya kepada saudara-saudara mereka yang “berhijab”
(dengan tidak bercadar) dan ikhwan mereka “yang menyerukan hijab,” yang
merasa mantap dengan pendapat jumhur umat. Tetapi hendaklah mereka
membidikkan panahnya kepada orang-orang yang menyerukan budaya
buka-bukaan, telanjang, dan melepaskan adab Islam.
Sesungguhnya
wanita muslimah yang mengenakan hijab syar’I itu sendiri sering
berperang (berjuang) menghadapi lingkungannya, keluarganya, dan
masyarakatnya sehingga mereka dapat melaksanakan perintah Allah untuk
mengenakan hijab, maka bagaimanakah kita akan mengatakan kepadanya:
“Sesungguhnya Anda melakukan dosa dan maksiat, kerana Anda tidak
memakai cadar”?
KEEMPAT: Masyaqqah (Kesulitan) Mendatangkan Kemudahan
Sesungguhnya
mewajibkan wanita muslimah – lebih-lebih pada zaman kita sekarang ini –
untuk menutup wajah dan tangannya bererti memberikan kesulitan dan
kesukaran serta kemelaratan kepada mereka. Padahal Allah Ta’ala telah
meniadakan kesulitan, kesukaran, dan kemelaratan dalam melaksanakan
agama-Nya, bahkan ditegakkan-Nya agama-Nya itu diatas dasar kelapangan,
kemudahan, keringanan, dan rahmat kasih sayang. Allah berfirrnan:
“… dan Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan …” (al-Hajj: 78)
“… Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu…” (al-Baqarah: 185)
“…Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-Nisa’: 28)
Rasulullah saw. bersabda: “Aku diutus dengan membawa agama yang lembut dan lapang (toleran). ,’ (HR Imam Ahmad dalam Musnadnya)
Maksudnya, lurus dalam aqidahnya dan lapang dalam hukum-hukumnya.
Sedangkan para fuqaha telah menetapkan dalam kaedahnya: “Kesukaran itu menarik kemudahan.”
Nabi
saw. telah menyuruh kita untuk memberikan kemudahan dan jangan
memberikan kesukaran, memberikan kegembiraan dan jangan menjadikan
orang lari. Kita ditampilkan untuk memberi kemudahan bukan untuk
memberi kesulitan.
Beberapa Peringatan:
Ada beberapa peringatan penting yang perlu dikemukakan disini untuk kita perhatikan:
1.
Bahawa membuka wajah disini tidak dimaksudkan agar si wanita
memolesnya dengan bermacam-macam bedak dan parfum yang berwarna-warni.
Begitupun membuka tangan disini tidak dimaksudkan agar mereka
memanjangkan kukunya dan mengecatnya dengan apa yang mereka namakan
manukir. Tetapi hendaklah dia keluar dengan sopan, tidak bersolek dan
ber-make-up warna-warni, dan tidak tabarruj (menampakkan aurat,
berpakaian mini, atau berpakaian yang tipis, atau yang membentuk lekuk
tubuh). Semua yang diperbolehkan disini adalah perhiasan yang
ringan-ringan, sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan
lainnya, iaitu celak di mata dan cincin di jari.
2. Pendapat yang
mengatakan tidak wajib bercadar tidak bererti mereka berpendapat bahawa
memakai cadar itu tidak boleh. Maka barangsiapa diantara kaum wanita
yang ingin memakai cadar, tidak ada larangan, bahkan hal yang demikian
terkadang disukai – menurut pandangan sebahagian orang yang cenderung
bersikap hati-hati, apabila wanita itu cantik yang dikhuwatirkan dapat
menimbulkan fitnah, lebih-lebih jika memakai cadar itu tidak
menyulitkannya dan tidak menimbulkan pergunjingan orang ramai. Bahkan
ramai ulama yang mengatakannya wajib jika kondisinya demikian (boleh
menimbulkan fitnah). Tetapi saya tidak menemukan dalil yang mewajibkan
menutup wajah ketika dikhuwatirkan menimbulkan fitnah. Sebab ini
merupakan masalah yang tidak ada ukurannya, dan kecantikan itu sendiri
sifatnya relatif, ada wanita yang oleh sebahagian orang dianggap sangat
cantik, tetapi oleh sebahagian yang lain dianggap biasa-biasa saja,
dan oleh yang lain lagi dianggap tidak cantik.
Beberapa penulis
bahkan mengemukakan, hendaklah wanita menutup wajahnya apabila ada
laki-laki ingin berlazat-lazat memandangnya atau mengkhayalkannya.
Namun masalahnya, dari mana wanita tersebut mengetahui bahawa ada
laki-laki ingin berlazat-lazat dengannya atau mengkhayalkannya
(sehingga ia wajib menutup mukanya)?
Oleh kerana itu, yang lebih
utama daripada menutup muka ialah hendaknya wanita tersebut menjauhi
lapangan yang boleh menimbulkan fitnah, jika ia menaruh perhatian
terhadap masalah itu.
3. Bahawa tidak ada kaitan antara membuka
wajah dengan kebolehan melihatnya. Maka diantara ulama ada yang
memperbolehkan membuka wajah tetapi tidak memperbolehkan melihatnya,
kecuali pada pandangan pertama yang selintas. Ada pula yang
memperbolehkan melihat apa yang diperbolehkan melihatnya itu, apabila
tidak disertai dengan syahwat; jika disertai dengan syahwat atau
dimaksudkan untuk membangkitkan syahwat, maka haram melihatnya, dan
pendapat inilah yang saya pilih.
Allah-lah yang memberi pertolongan dan petunjuk ke jalan yang lurus.
______________________________________
Nota kaki:
1. Al-Ikhtiyar li-Ta’lilil Mukhtar, karya Abdullah bin Mahmud bin Maudud al-Maushili al-Hanafi, 4: 156.
2.
Hasyiyah ash-Shawi ‘alaa asy-Syarh ash-Shaghir, dengan ta’liq, Dr.
Mushthafa Kamal Washfi, terbitan Darul Mawarif, Mesir, 1: 289.
3.
Imam Nawawi berkata dalam al-Majmu’: “Tafsir yang disebutkan dari Ibnu
Abbas ini diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Abbas dan dari Aisyah
juga.”
4. Hadis ini tersebut dalam Shahih al-Bukhari, dari Ibnu
Umar r.a. bahawa Rasulullah saw. Bersabda: “Janganlah wanita yang
berihram memakai cadar dan jangan memakai kaos tangan.”
5. al-Majmu’, 3: 167-168
6. Al-Majmu’, karya Imam Nawawi. 3: 169
7. Periksa ad-Durul Mantsur oleh as-Suyuthi dalam menafsirkan ayat 31 surah an-Nur.
8. Al-Muhalla, 3: 279.
9.
Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, dan Baihaqi dalam asy-Syu’ab
dari Ubadah, dan dihasankan dalam Shahih al-Jami’ush-Shaghir, (1018).
10. HR Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, dan Hakim dari Buraidah, dan dihasankan dalam Shahih al-Jami’ush-Shaghir (7953)
11. Dalam “Kitab an-Nikah”‘ hadis nombor 1403
12. Disebutkan oleh al-Albani dalam Salasilah Ahadits ash-Shahihah, nombor 235.
13. Sunan Tirmidzi, “Bab al-Haj,” nombor 885
14. Nailul Athar, 6: 126.
15. Al-Muhalla, 3: 280
16. Hadis nombor 1141 dan Sunan Abi Daud, dan Imam Nasa’I juga meriwayatkan hadis ini.
17. Al-Muhalla 11: 221 masalah nombor 1881.
18.
Dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma’uz Zawaid, 10: 192 dan beliau
berkata: “Diriwayatkan oleh Thabrani dan isnadnya bagus.”